JOHOR BAHRU: Syarikat pembekal makanan sejuk beku, LY Frozen Food Sdn. Bhd. bersama pengarah dan pengurusnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap empat pertuduhan masing-masing bersabit kesalahan bersubahat dan memiliki barangan dilarang import bernilai RM643,465.39 pada Disember lalu.
Tertuduh, Yong Chee Keong, 40, yang merupakan pengarah syarikat membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara serentak bersama pertuduhan ke atas syarikat di hadapan Hakim Wan Mohd. Nor Hisham Wan Yaakob.
Sementara itu, Chong Kim Kuang, 48, yang merupakan pengurus syarikat membuat pengakuan sama di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman dalam kamar berasingan.
Chee Keong yang mewakili syarikat dan dirinya didakwa atas empat pertuduhan bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas iaitu Tan Siew Huak, 42, telah didapati dan disedari memiliki barang-barang larangan.
Sementara itu, Kim Kuang yang turut berdepan empat pertuduhan didapati bersubahat dengan syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd.; Chee Keong dan Siew Huak kerana memiliki barangan larangan.
Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis beralamat No. 663, Jalan 3/4, Kawasan Perindustrian Desa Idaman, 81400, Senai dalam daerah Kulai pada 15 Disember 2020.
Pertuduhan membabitkan pelbagai barangan sejuk beku bernilai RM488,973.91 yang disimpan di dalam premis, manakala tiga pertuduhan lain membabitkan pelbagai barangan sejuk beku yang disimpan dalam tiga buah lori berbeza bernilai RM154,491.48.
Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1966 yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak 20 kali ganda nilai penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 terhadap Chee Keong dengan seorang penjamin, beserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan.
Sementara itu, mahkamah turut menetapkan jaminan berjumlah RM60,000 kepada Kim Kuang dengan dua penjamin serta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 3 Jun untuk serahan dokumen bagi kesemua pertuduhan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar dan Nur Suriati Mohamad manakala kesemua tertuduh diwakili barisan peguam, Zamri Idrus; Ridzuan Othman dan Saifuz Zaman Abd. Rahman.
Pada 9 Februari lalu, kesemua mereka turut dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 5(1)(a), Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. – UTUSAN