BUTTERWORTH: Penganjuran Karnival Food Republik menjadi platform terbaik bagi usahawan untuk mengembangkan pasaran sekali gus menjana kembali pendapatan yang terjejas ekoran Covid-19.
Pengasas produk makanan tambahan dan kecantikan Apcel, Suhaida Saad berkata, program terbabit memberi impak besar dalam mempromosi dan memperkenalkan produk kepada pengunjung.
“Sememangnya kebanyakan pengguna sudah selesa membeli melalui atas talian namun karnival ini membolehkan usahawan dan peniaga berinteraksi secara fizikal.
“Saya selaku penaja program berbesar hati kerana dapat membantu melancarkan aktiviti ini sekali gus menggalakkan lagi pembabitan usahawan sekali gus merancakkan kembali industri perniagaan di negeri ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Karnival itu berlangsung empat hari bermula Khamis lalu sehingga semalam.
Antara penaja program termasuklah The Blanket Hotel, Vouk Hotel Suites dan Bahang Bay Hotel.
Pengarah The Blanket Sdn. Bhd. (The Blanket), Ieja Hindun Salleh berkata, pihaknya berbesar hati menaja penginapan peserta karnival di samping turut mempromosikan bufet Ramadan yang akan berlangsung di Vouk Hotel Suites bermula 23 April sehingga 9 Mei hadapan.
“Lebih 100 hidangan berkonsepkan juadah masakan Melayu disediakan bagi memenuhi citarasa pelanggan yang merindui makanan dan suasana kampung,” katanya.
Salah seorang penaja, Nafishah Mahadzir yang juga pemilik D’fiesha Licious Steamboat & Grill berkata, program terbabit memberi ruang kepada usahawan untuk merancakkan perniagaan.
“Sebagai pemilik restoran, saya memang merasai keperitannya kerana restoran tidak dapat beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
“Justeru, program ini memberi kelegaan kepada peniaga kerana selain dapat mempromosikan kembali restoran, saya turut menjual produk lain antaranya kambing perap yang boleh disediakan dengan mudah di rumah,” katanya. -UTUSAN