LUMUT: Kapal penyelamat kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV Mega Bakti (MB) ketika ini ditugaskan melaksanakan rondaan di sekitar perairan kapal selam Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL) KRI Nanggala 402 yang disahkan tenggelam di utara Pulau Bali, Rabu lalu.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany berkata, ia bagi membantu usaha mencari bahan-bahan bukti tambahan daripada kapal selam itu yang mungkin terapung di permukaan.
“MB bersedia menggunakan semua keupayaan yang ada untuk operasi ini termasuk menggunakan Intervention Remotely Operated Vehicles (IROV),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan perbarisan sempena sambutan ulang tahun Ke-87 TLDM di Padang Kawad KD Pelandok di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
KRI Nanggala 402 telah disahkan tenggelam ke dasar lautan dan mengorbankan kesemua 53 kru kapal tersebut.
Menurut Moh.d Reza, kedalaman lokasi akhir KRI Nanggala 402 ialah 839 meter yang jauh melebihi kemampuan IROV MB iaitu 650 meter sahaja.
Katanya, oleh pasukan Carilamat TLDM melalui MV Mega Bakti telah berusaha mengoperasikan IROV untuk mendapatkan bukti tambahan dalam pencarian kapal selam negara jiran tersebut.
Mohd Reza berkata, MB telah tiba di lokasi pencarian pada pukul 12 tengah hari Ahad lalu dan telah ditugaskan bersama-sama MV Swift Rescue dari Republik Singapura dan kapal hidrografi TNI-AL KRI Rigel untuk memulakan operasi mencari dan mengumpul bahan-bahan bukti dari kapal selam tersebut di posisi yang disahkan.
“Kita sentiasa berhubung dengan kru MV Mega Bakti. Saya tahu apa yang berlaku di lapangan dan koordinasi.
“Operasi di peringkat TLDM dikoordinasikan oleh Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Mohd. Razib Tahir yang mana salah seorang mangsa dalam kapal selam itu adalah rakan baiknya,” katanya.
Mohd. Reza berkata, penugasan MB seterusnya adalah bergantung kepada pihak TNI-AL.
Beliau menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga kru kapal selam tersebut terhadap tragedi berkenaan.
Sementara itu, perbarisan tahun ini melibatkan sembilan kontinjen terdiri daripada 28 pegawai dan 478 anggota diketuai Komander Salleh Sauli.
Perbarisan turut diserikan dengan lintas hormat oleh aset udara TLDM iaitu Super Lynx dan Fennec. – UTUSAN