Kaji kemudahan tertentu kepada penerima dua dos vaksin Covid-19

Kaji kemudahan tertentu kepada penerima dua dos vaksin Covid-19

KHAIRY Jamaluddin ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin di Kompleks Masyarakat Penyayang, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan akan mengkaji kemungkinan untuk memberikan kemudahan tertentu kepada individu yang sudah menerima dua suntikan dos vaksin Covid-19. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu termasuk bentuk kemudahan tersebut akan dibincangkan lebih lanjut dengan Kementerian Kesihatan serta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 berdasarkan kajian data klinikal. 

Menurutnya, langkah itu juga sebagai dorongan serta galakan kepada orang ramai untuk mendaftar sebagai penerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). 

Beliau yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata, ketika ini pendaftaran penerimaan vaksin daripada rakyat menunjukkan peningkatan agak baik dengan kira-kira 7.5 juta iaitu kira-kira 30 peratus daripada sasaran. 

“Kita yakin apabila fasa kedua bermula 19 April ini akan lebih ramai yang mendaftar sebagai penerima vaksin. 

“Ini kerana ketika ini masih ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat, jika tidak ada masalah dalam kalangan yang sudah menerima vaksin, baru mereka akan tampil,” katanya. 

Beliau ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini hari ini. 

Dalam perkembangan sama Khairy berkata, pihaknya dan Kementerian Kesihatan akan memutuskan dasar dan kerangka kerja (framework) untuk hospital swasta membeli vaksin terus daripada pembekal. 

Jelas beliau, kebenaran telah diberikan kepada hospital swasta untuk berunding dengan pembekal bagi pembelian vaksin Covid-19 namun perkara itu masih di peringkat awal. 

Namun ujar beliau, pihak hospital perlu sedar pasaran vaksin antarabangsa ketika ini sangat terhad dan sekiranya berjaya sekali pun, vaksin itu mungkin hanya akan diterima hujung tahun ini atau tahun depan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN