PUTRAJAYA: Jumlah pekerja asing positif wabak Covid-19 setelah saringan wajib di seluruh negara semalam naik mendadak kepada 43 individu berbanding sembilan orang kelmarin.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan sejumlah 2,950 pekerja warga asing menjalani proses itu semalam.
Secara kumulatif jelas beliau lagi, sejak 1 Disember lalu, seramai 667,896 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 34,653 majikan.
Daripada jumlah tersebut ujarnya, cuma 10,116 pekerja warga asing disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya pula iaitu seramai 657,896 orang lagi adalah negatif.
Sebanyak 1,542 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.
Saringan dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tersebut mulai 1 Februari lepas, meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelum itu.
Keperluan ujian ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.
Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.
Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso. – UTUSAN ONLINE