IPOH: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak menyelamatkan seorang wanita warga Indonesia yang terpaksa bekerja sebagai pembantu rumah tanpa gaji sejak sembilan tahun lalu.
Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd. Ghani berkata, wanita berusia 33 tahun itu diselamatkan selepas pihaknya menerima maklumat kejadian itu dari Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) pada 30 Mac lalu.
Katanya, rakan senegara wanita itu yang juga pembantu rumah menghubungi KBRI bagi membuat aduan mengenai penganiayaan majikan ke atas mangsa.
“Pasukan Khas Penguatkuasaan (PKP) JTK Perak bersama wakil KBRI dibantu pihak polis telah ke rumah majikan di Jalan Persiaran Gopeng di sini pada 30 Mac lalu, kira-kira pukul 1.30 petang dan menemui mangsa berada di rumah tersebut.
“Semasa kedatangan kami, majikan tiada di rumah kerana keluar makan dan kita kemudiannya membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat,” katanya di sini hari ini.
Menurut Muhamad Fauzi, siasatan yang dijalankan PKP mendapati mangsa bekerja dengan majikannya tanpa dibayar gaji dalam tempoh sembilan tahun sejak Mac 2012 hingga bulan lalu.
Beliau bagaimanapun berkata, tiada unsur penderaan dikesan terhadap mangsa dan dia berada dalam keadaan baik semasa kehadiran pihak berkuasa.
Katanya, pasport milik mangsa berada pada agensi pekerjaan swasta bagi tujuan perbaharui permit kerja yang dipersetujui secara lisan oleh mangsa dan majikan untuk bekerja sehingga September depan.
“Siasatan mendapati, jumlah bayaran gaji tertunggak itu dikira antara mangsa dan KBRI bersama majikan di mana mereka bersetuju menyelesaikan kes berkenaan melalui persetujuan bersama.
“Majikan bersetuju membayar RM80,000 kepada mangsa secara berperingkat iaitu melibatkan pembayaran tunai dan transaksi bank,” katanya.
Tambah beliau, mangsa akan pulang ke negara asal dan penghantaran pulang itu diuruskan oleh KBRI. – UTUSAN