SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan menyasarkan sebanyak 78 premis dilakukan pemeriksaan oleh pasukan petugas pemeriksaan sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Timbalan Pengarahnya, Abd. Rahman Ali berkata, kesemua premis tersebut melibatkan dewan, tempat perhimpunan serta hotel dan ia diperiksa bermula 30 April sehingga 27 Mei ini.
“Pemeriksaan ini bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin. Saya berharap semua premis di Negeri Sembilan dapat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan demi memastikan keselamatan orang awam.
“Kami juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kompaun ke atas kesalahan yang dilakukan oleh pihak premis,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran dan Keselamatan Awam Musim Perayaan Aidilfitri Op Raya JBPM Negeri Sembilan Tahun 2021 di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong.
Sementara itu, Abd. Rahman memberitahu, kebanyakan punca insiden kebakaran rumah dan premis adalajh disebabkan oleh sikap sambil lewa dan kecuaian orang ramai dalam menangani bahaya kebakaran.
Tambah beliau, kebanyakan kebakaran berpunca daripada penggunaan tenaga elektrik berlebihan dan kecuaian semasa mengendalikan barangan elektrik.
“JBPM Negeri Sembilan telah mengambil langkah dengan menganjurkan pelbagai kempen agar masyarakat sedar dan dapat ilmu tentang keselamatan kebakaran. Bagaimanapun saya harap kesedaran ini tidak terhenti setakat kempen yang diadakan sebaliknya dihayati sampai bila-bila.
“Saya harap orang ramai yang ingin keluar dari rumah supaya mencabut semua plug perkakasan elektrik daripada soket sebelum meninggalkan rumah bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku semasa ketiadaan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE