Jangan ketepikan pandangan Annuar Musa - Jalaluddin

Jangan ketepikan pandangan Annuar – Jalaluddin

JALALUDDIN ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO tidak boleh mengetepikan sebarang pandangan mana-mana pemimpin sekali pun dalam kalangan ahli akar umbi terutama berkaitan jajaran politik baharu.

Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, ini termasuk pandangan bekas Setiausaha Agung parti itu, Tan Sri Annuar Musa berhubung isu kerjasama yang ‘sedang dibina’ antara UMNO-PKR-DAP kerana ia ternyata ditolak rakyat, malah menyalahi pendirian parti. 

Kata beliau, isu berkenaan tidak boleh ditolak bulat-bulat hanya kerana kepentingan pihak tertentu dalam parti.   

“Kita berpegang kepada keputusan parti iaitu tidak ada gabungan atau kerjasama DAP dan PKR. Ini kita buat sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“UMNO juga perlu menyelesaikan isu (hubungan) antara UMNO dengan Pas, ataupun dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum PRU-15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerjasama dengan DAP sudah terbukti ditolak oleh rakyat atau masyarakat ketika 22 bulan mereka menjadi kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Bagaimanapun, katanya, ada juga pihak mendakwa Bersatu turut ditolak ketika gabungan dalam PH itu, namun, rakyat tahu dan faham apa yang dilakukan DAP ketika itu.

“Ini kerana DAP adalah parti dominan termasuk PKR berbanding Bersatu, jadi maknanya ini semua kita perlu ambil kira,” katanya.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  mengakui bahawa parti itu bersedia untuk menubuhkan jajaran politik baharu selepas PRU-15.

Malah, Ahmad Zahid membayangkan UMNO terbuka untuk melakukan kerjasama selepas PRU-15 dengan mana-mana sahaja pihak untuk membentuk kerajaan.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tindakan disiplin boleh dikenakan sekiranya terdapat ahli dan pemimpin UMNO yang didapati menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP kerana pucuk pimpinan tertinggi parti telah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan parti-parti itu.

Lebih awal sebelum itu, Annuar pernah mendedahkan bagaimana tugas yang diarahkan kepada beliau untuk menjadi jambatan antara UMNO dan Bersatu terkandas apabila ada kepincangan dalam usaha mempertemukan pucuk pimpinan dua parti itu.

Tegasnya, arahan daripada Presiden UMNO ialah supaya beliau berhubung dengan Bersatu, namun akhirnya, beliau yang dituduh menjadi duri dalam daging parti.

Ahli Parlimen Ketereh itu sebelum ini mengingatkan pihak tertentu agar tidak mempertikaikan kesetiaannya terhadap parti itu kerana penglibatannya dalam parti itu lebih lama berbanding Ahmad Zahid sendiri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya