Jakim serah kepada PDRM, SKMM siasat iklan judi

Jakim serah kepada PDRM, SKMM siasat iklan judi

ABDUL Aziz Jusoh menyerahkan sumbangan kepada penghantar makanan di hadapan pintu utama Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. - FOTO/SUBKHI SUDARJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat video promosi judi dalam talian bertemakan sambutan Aidilfitri yang tular dalam media sosial sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, perbuatan itu diharamkan dalam Islam dan semua pihak yang terbabit dalam video itu perlu kembali ke pangkal jalan dengan bertaubat lebih-lebih sempena bulan Ramadan yang mulia ini.

“Penerbit, pelakon dan semua yang terlibat dalam iklan berkenaan perlu bertaubat kerana sebagai manusia kita tidak lepas daripada melakukan sebarang kesilapan. 

“Rezeki adalah pemberian daripada Allah SWT dan keberkatan (rezeki) adalah yang diharapkan bukannya jumlah yang diperoleh,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada penghantar makanan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini. 

Dalam program itu, seramai 50 penghantar makanan menerima sumbangan makanan berbuka puasa sempena Program Kembara Al-Amin Ramadan 1442H yang dilancarkan baru-baru ini.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, program sumbangan menyantuni golongan penghantar makanan di sekitar Putrajaya akan diadakan menerusi empat siri sepanjang Ramadan ini.

Katanya lagi, peserta yang menerima sumbangan terdiri daripada golongan B40 selain diperluaskan kepada petugas barisan hadapan, Orang Asli dan gelandangan. 

“Program seumpama ini bertujuan membantu kerajaan dalam merealisasikan budaya prihatin dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Jakim berharap ia dapat mewujudkan masyarakat yang cakna dan prihatin kepada golongan yang memerlukan di bulan Ramadan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya