Jakim jawab isu teks khutbah Jumaat - Utusan Malaysia

Jakim jawab isu teks khutbah Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan pihaknya hanya menyediakan teks khutbah untuk tiga masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Jakim, pihaknya tidak bertanggungjawab untuk membekalkan teks khutbah ke masjid-masjid lain kerana mereka berada di bawah kuasa majlis atau jabatan agama Islam negeri masing-masing.

“Ingin ditegaskan sekali lagi bahawa Jakim tidak bertanggungjawab mengedar teks khutbah kepada negeri-negeri untuk dibaca kecuali atas arahan mesyuarat jemaah menteri atau keputusan-keputusan tertentu yang berkehendakkan perkara tersebut dilaksanakan.

“Justeru, Jakim ingin menafikan dakwaan Utusan Malaysia yang mengatakan bahawa Jakim menyedia dan mengedarkan teks khutbah sempena Hari Polis pada Jumaat lepas khususnya di negeri Perak sedangkan jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan tidak terlibat dalam penyediaan dan pengedaran teks berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada siaran akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan Minda Pengarang dengan tajuk Menanti ‘Sedapnya’ Teks Khutbah Jakim pada 30 Mac lalu.

Bagaimanapun, Jakim mengucapkan terima kasih kepada Utusan Malaysia kerana sudi memberi perhatian terhadap isu kualiti teks khutbah yang disediakan.

“Jakim menerima segala kritikan, pandangan dan cadangan membina dan bersedia untuk menambah baik kualiti penerbitan teks khutbah demi memenuhi keperluan umat Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, Jakim telah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) penyediaan teks khutbah yang terdiri daripada dua jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan.

“Jawatankuasa Teknikal dan Penyelarasan Khutbah diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jakim manakala Jawatankuasa Pentasheh Teks Khutbah diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim.

“Jawatankuasa-jawatankuasa ini bertanggungjawab dalam memastikan teks khutbah yang dikeluarkan adalah berkualiti, sahih dan memenuhi keperluan semasa dari aspek kandungannya,” katanya.

Dalam pada itu, Jakim juga kerap kali menerima permohonan dari agensi-agensi kerajaan yang lain bagi menyedia dan membaca teks khutbah berkaitan sesuatu isu berkaitan agensi berkaitan.

Katanya, Jakim boleh memberi pertimbangan terhadap permohonan tersebut dengan beberapa pertimbangan seperti isu yang ingin diutarakan adalah bersifat nasional, penting dan menjadi dasar negara.

“Pihak agensi yang memohon untuk dibacakan teks khutbah berkaitan sesuatu isu perlu membuat permohonan kepada Jakim sekurang-kurangnya dua bulan sebelum teks dibaca dan perlu menyediakan cadangan teks sewajarnya.

“Teks tersebut setelah disaring, diedit dan disesuaikan oleh pihak urusetia akan diangkat untuk pertimbangan jawatankuasa-jawatankuasa yang ditetapkan sebelum diedarkan kepada tiga buah masjid utama untuk dibaca,” katanya.

Justeru, Jakim mengalu-alukan semua pihak untuk meneliti topik-topik khutbah yang dikeluarkan oleh Jakim saban minggu di pautan https://www.islam.gov.my/ms/e-khutbah dan membuat penilaian dengan adil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya