KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, imej bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid tidak kelihatan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi dari Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, tiga tahun lalu.
Rakaman video tersebut diperolehi oleh pasukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menyiasat kes pecah amanah wang US$12.1 juta (RM50.4 juta) melibatkan Hasanah yang ketika itu berjawatan Ketua Pengarah Penyelidikan JPM.
Penguasa Kanan Bahagian Teknologi Forensik SPRM, Badri Azni berkata, video sebanyak 163 fail itu dirakam pada 30 April 2018 dan 9 Mei 2018 di sekitar ruang legar lif tingkat tujuh di Blok B4, Bahagian Penyelidikan JPM yang menempatkan pejabat Hasanah dan timbalan-timbalannya.
Ketika ditanya oleh peguam Muhammad Ashraff Mohd. Diah pada sesi pemeriksaan balas, saksi pendakwaan kelapan itu berkata, berdasarkan beratus-ratus fail yang diperiksanya, tiada imej Hasanah kelihatan dalam mana-mana rakaman CCTV tersebut.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Farid Ahmad Kamal pada pemeriksaan utama, pegawai forensik SPRM itu berkata, dia mengunjungi Bahagian Penyelidikan JPM pada 3 September 2018 setelah diminta oleh pasukan siasatan mendapatkan rakaman CCTV tersebut.
Rakaman berdurasi hampir satu jam itu yang dimainkan di hadapan Hakim Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menunjukkan pergerakan beberapa individu keluar masuk lif sambil menarik bagasi di sekitar aras tujuh.
Sementara itu, seorang bekas polis bantuan di Blok B berkata, individu-individu yang keluar masuk lif seperti yang kelihatan dalam video yang dimainkan di mahkamah, merupakan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang bertugas di situ.
Norrashid Mahmud, 59, memberitahu mengenali individu-individu berkenaan, para pegawai serta kakitangan di situ kerana telah bertugas selama 20 tahun sebelum bersara pada 20 Oktober tahun lalu.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Hasanah yang didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik Kerajaan Malaysia.
Tertuduh, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan JPM melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks JPM, Putrajaya di antara 30 April dan 9 Mei 2018.
Hasanah dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung Isnin ini bagi mendengar keterangan 11 saksi pendakwaan yang akan dijalankan secara tertutup (in camera).
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad memaklumkan perkara itu berikutan permohonan pihak pendakwaan agar perbicaraan melibatkan saksi-saksi terlindung dijalankan secara tertutup.
Pihak media dan orang awam tidak dibenarkan mengikuti prosiding perbicaraan secara tertutup kerana melibatkan isu keselamatan negara. – UTUSAN ONLINE