Imarah masjid sepanjang Ramadan -Mufti - Utusan Malaysia

Imarah masjid sepanjang Ramadan -Mufti

DR. LUQMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam sewajarnya memfokuskan usaha untuk memperbanyakkan aktiviti ibadah dan mengimarahkan masjid atau surau sepanjang bulan Ramadan pada kali ini.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, ia selaras peringatan Allah mengenai kewajipan berpuasa yang hakikatnya untuk membentuk keperibadian mukmin serta merebut pelbagai fadilat serta ganjaran berlipat ganda ditawarkan atas segala amal ibadah yang dilakukan.

“Justeru, perbanyak amal ibadah seperti solat sunat, baca al-Quran, berzikir, sedekah, qiamullail dan lain-lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahan pula, katanya, Yang di-Pertuan Agong sendiri pada bulan lalu menitahkan kebenaran umat Islam di tiga wilayah itu mengimarahkan masjid dan surau mengikut kapasiti sebenar sekali gus memberi peluang menghidupkan Ramadan di rumah Allah itu dalam suasana norma baharu mesti disambut baik berdasarkan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan.

Bahkan, Luqman menambah, kesempatan itu harus direbut untuk memohon pertolongan Allah agar keadaan negara kita bertambah positif dan kembali normal daripada wabak Covid-19.

“Pada masa sama, umat Islam di Wilayah Persekutuan disarankan supaya menjauhi sebarang perbuatan atau anasir yang boleh mencemarkan kemuliaan bulan Ramadan,” tegas beliau sambil mengajak masyarakat Muslim konsisten mengekalkan fokus dengan menghidupkan bulan tersebut melalui peningkatan amal ibadah kepada Tuhan.

Di samping itu, beliau menyarankan keseluruhan Ramadan dijadikan medium penyatuan umat terutama menerusi aktiviti pengimarahan yang kembali dilaksanakan di semua rumah Allah.

Muslim di seluruh Malaysia mula menunaikan ibadah fardu puasa selama sebulan bermula hari ini dalam suasana kes penularan Covid-19 masih ada untuk tahun kedua berturut-turut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya