Ikan patin, tilapia mati bukan disebabkan air sungai tercemar - Utusan Malaysia

Ikan patin, tilapia mati bukan disebabkan air sungai tercemar

TUAN IBRAHIM Tuan Man membuat cabutan undi untuk memilih kontraktor bagi kerja di bawah peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air di Jerantut, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kementerian Alam Sekitar dan Air menolak dakwaan bahawa punca ikan mati di kawasan ternakan sangkar Sungai Pahang berdekatan Kampung Jerantut Feri dekat sini pada penghujung bulan Mac lalu berpunca daripada keracunan dan pencemaran air.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap sampel air Sungai Pahang di sekitar kawasan kejadian termasuk dalam sangkar berkenaan mendapati tidak pencemaran ataupun keracunan berlaku. 

“Saya sudah terima laporan hasil siasatan JAS di kolam berkenaan yang mendapati ikan patin dan ikan tilapia itu mati bukan disebabkan pencemaran dan keracunan, tetapi kemungkinan kekurangan udara dalam sangkar berikutan muatan ikan melebihi kapasiti atau ruang (sangkar).

“Saya memberikan jaminan bahawa aliran Sungai Pahang tidak tercemar seperti yang didakwa sesetengah pihak dan selamat untuk hidupan akuakultur yang sebahagiannya menjadi sumber pendapatan pengusaha ternakan serta penduduk pesisir sungai itu,” katanya selepas Majlis Undi Perdana Kerja bagi Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Pahang di sini semalam.

Pada 31 Mac lalu, media melaporkan lebih 20,000 ekor ikan patin dan ikan tilapia mati di Sungai Pahang berdekatan Kampung Jerantut Feri sehingga menyebabkan kira-kira 20 orang penternak ikan sangkar menanggung kerugian hampir RM1 juta.

SIASATAN Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap sampel air Sungai Pahang di kawasan ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Jerantut Feri mendapati tiada pencemaran ataupun keracunan berlaku.

Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas kejadian air Sungai Pahang melimpah berikutan banjir pada pertengahan bulan Mac termasuk dilaporkan keadaan air keruh dan berkeladak sehingga ini.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim meminta kontraktor yang dipilih untuk menyelenggarakan projek JPS supaya amanah dan jujur dengan mementingkan kualiti serta tempoh menyiapkan kerja seperti yang ditetapkan supaya dapat mengelakkan kerugian.

“Bagi saya, kementerian ini mengutamakan kualiti hasil (kerja) yang dilakukan dan akan dipantau oleh JPS di kawasan masing-masing sehingga siap sempurna mengikut jadual tanpa tertangguh.

“Saya yakin mereka (kontraktor) yang dipilih menerusi cabutan undi hari ini cukup berwibawa mampu bersaing menghasilkan kerja yang berkualiti apabila berpeluang menyelenggarakan projek di bawah JPS yang membabitkan kos yang agak besar,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya