TAIPING: Burung hud-hud yang jarang ditemukan di negara ini didapati menjadikan Taman Tasik Taiping, di sini sebagai destinasi persinggahan untuk proses pembiakannya.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, burung hud-hud itu dikesan membuat sarang dalam lubang di sebatang pokok Jemerlang atau Yellow Flame di Taman Tasik Taiping sejak tiga minggu lalu.
Katanya, sehubungan itu MPT sedang mengatur kakitangannya untuk memantau keselamatan burung itu dalam tempoh 30 hingga 50 hari bagi mengelak orang ramai mengganggunya.
“Kehadiran burung hud-hud itu menarik perhatian orang ramai dan para penggemar burung.
“Spesies ini adalah burung migrasi yang berasal dari kawasan utara Asia dan burung hud-hud berhijrah apabila musim sejuk melanda utara Asia antara April hingga September. Menjadi kebiasaan burung ini untuk pulang ke tempat asalnya dalam bulan April,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Sementara itu, kajian oleh Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) mendapati, burung hud-hud di Taman Tasik Taiping berulang-alik sebanyak 60 kali ke sarang untuk memberi anaknya makan.
Timbalan Presidennya NEST, Sulaiman Salikan berkata, ibu burung hud-hud membawa kira-kira 14 jenis makanan untuk diberikan kepada anaknya dari pukul 6.30 pagi hingga 5.45 petang setiap hari.
Katanya, antara makanan yang dikesan seperti anak ikan, cengkerik, lipan hitam dan merah serta beberapa jenis makanan lain.
“Kajian ini dibuat sejak burung hud-hud dikesan bertelur dalam lubang sebatang pokok sejak tiga minggu lalu.
‘”Saya percaya berdasarkan kekerapan burung itu memberikan makanan, ini bermakna telur burung itu sudah menetas dan sudah mempunyai anak yang masih berada dalam sarang.
“Anak burung itu yang jumlahnya belum diketahui dijangka dapat terbang dalam tempoh sebulan,” katanya.
Sulaiman berkata, burung migrasi itu pernah ditemui di Assam Kumbang di sini pada tahun lalu dan di Kuala Gula, Kerian pada awal tahun ini serta di Langkawi, Kedah pada 2017. – UTUSAN ONLINE