SUNGAI SIPUT: Kerjasama antara UMNO dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) masih baik dan lancar berdasarkan pengukuhan hubungan sedia ada termasuk pada peringkat pemimpin hingga akar umbi.
Malah, kerjasama antara kedua-dua parti itu akan terus diperkukuhkan dan tidak berakhir selagi tiada ketetapan muktamad mengenainya.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, hubungan UMNO dan Pas dalam MN adalah berbeza kerana dibina secara satu persatu tidak sepertimana dengan Perikatan Nasional (PN) yang berlaku secara mendadak.
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, justeru kerjasama menerusi gabungan dalam MN akan terus diperkemaskan demi matlamat diperjuangkan.
“Saya optimis tentang MN disebabkan hubungan yang terjalin dari atas sampai ke bawah, ia bukan sahaja hubungan antara pemimpin semata-mata tetapi sampai ke peringkat kampung.
“Perkara ini tidak berlaku dalam PN (antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia) disebabkan hubungan itu berlaku mendadak dan tidak dibina satu persatu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa hadir pada program #sambung yang tergendala di sebuah hotel di sini semalam.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.
Shahril berkata, pihaknya menghormati pendirian Pas yang mahu mempertahankan PN dan pada masa sama memperkukuhkan MN, bagaimana pun ketetatapan UMNO tetap tidak berganjak untuk enggan bekerjasama dengan PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saya berpandangan itu hak mereka (Pas) mempertahankan pendirian dalam PN tapi itu akan menyebabkan berlaku kerumitan dan persoalan tersebut juga hanya boleh dijawab oleh Pas,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, Pas mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, PN bersama-sama dengan Bersatu yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.
Selain itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, jemputan itu termasuk juga bersama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara, tanpa menghabiskan masa.
Katanya, parti itu menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat MN yang asal. – UTUSAN