Hospital Kebajikan Kek Lok Si tawar rawatan murah, terbaik  - Utusan Malaysia

Hospital Kebajikan Kek Lok Si tawar rawatan murah, terbaik 

CHOW KON YEOW meninjau kelengkapan perubatan di Hospital Kebajikan Kek Lok Si, Air Itam, Pulau Pinang pada 23 April 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Hospital Kebajikan Kek Lok Si di sini akan beroperasi sepenuhnya bulan depan bakal menyediakan perkhidmatan kesihatan termurah untuk penduduk negeri ini. 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, hospital berkenaan tidak berasaskan keuntungan terbuka kepada semua penduduk tanpa mengira kaum dan agama. 

Menurut beliau, bayaran perkhidmatan kesihatan di hospital itu lebih rendah berbanding hospital sedia ada malah pesakit yang tidak dapat membayar  bil  boleh memohon subsidi Yayasan Kek Lok Si. 

“Hospital kebajikan ini juga bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam memberikan perkhidmatan kesihatan dan  menjadi salah sebuah hospital swasta yang tidak mengenakan Bayaran Prosedur Kejururawatan untuk pesakitnya,” katanya selepas meninjau Hospital Kebajikan Kek Lok Si di sini hari ini. 

Dalam lawatannya itu, Kon Yeow tmenyerahkan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM200,000 kepada Yayasan Kek Lok Si bagi membantu melicinkan operasi hospital berkenaan. 

Hospital pakar lima tingkat itu didirikan di atas tapak seluas 0.40 hektar serta mempunyai kemudahan moden seperti bilik X-Ray, CT-Scan, pusat hemodialisis dan unit penjagaan kritikal modular. 

Kon Yeow memberitahu, hospital berkenaan memberi keutamaan kepada rakyat tempatan dan akan mematuhi etika perubatan dan profesionalisme tertentu seperti tidak membuka pintu bagi pelancong perubatan. 

“Satu-satunya pengecualian adalah apabila berlaku kecemasan untuk menerima pesakit warga asing dan apabila keadaannya stabil, pesakit ini akan dipindahkan ke hospital lain,” katanya. 

Tambah beliau, setakat ini, hospital tersebut  mempunyai 50 buah katil, tujuh doktor perunding dan 130 kakitangan. 

“Kesemua kakitangan telah mendapat tauliah daripada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) dari Jabatan Kesihatan negeri,” katanya. 

Dalam pada itu Kon Yeow berkata, sebagai sebuah hospital kebajikan yang beroperasi hasil sumbangan orang ramai, cabaran utama pihak pengurusan adalah untuk mendapatkan sokongan kewangan mencukupi bagi menampung kos operasi dan juga perbelanjaan harian. 

Sehubungan itu, beliau menggesa  pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan lain-lain tampil menyokong hospital ini bagi  memastikan lebih ramai penduduk mendapat rawatan kesihatan terbaik pada kadar yang murah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN