'Hilangkanlah derita anakku' - Utusan Malaysia

‘Hilangkanlah derita anakku’

MEEZAITON Ariffin menjaga Nurul Hidayah Rojali yang terlantar kerana menghidap sakit buah pinggang di Kelian Intan, Gerik. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seorang wanita mengharapkan keajaiban melihat anak perempuannya yang menghidap penyakit buah pinggang kembali pulih biarpun doktor tidak memberikan harapan untuk sembuh.

Meezaiton Ariffin, 50, mengakui sudah tidak sanggup lagi melihat keadaan anaknya, Nurul Hidayah Rojali, 19, yang terlantar berikutan penyakitnya yang semakin serius.

Katanya, sejak berusia empat tahun, anaknya itu disahkan menghidap masalah buah pinggang dan terpaksa berulang-alik ke Hospital Besar Pulau Pinang, Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani dan Hospital Daerah Baling untuk mendapatkan rawatan.

“Ketika berada di hospital, doktor memasang oksigen bagi mengurangkan risiko penat yang dihadapinya dan suntik ubat tahan sakit. Selain masalah buah pinggang, anak saya menghidap penyakit jantung, paru-paru dan tulang.

“Saya sentiasa berharap dan berdoa agar anak saya pulih daripada penyakit yang ditanggungnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kelian Intan,di sini semalam.

Meezaiton berkata, keadaan mulut anaknya membengkak di bahagian dalam sejak tiga tahun lalu kerana paras tiroid yang tinggi akibat penyakit buah pinggang dan kekurangan kalsium.

Katanya, keadaan itu menyebabkan anaknya sukar untuk menelan ubat.

“Kami memerlukan RM500 sebulan sebagai kos rawatannya dan suami terpaksa berjimat apabila sebahagian wang gaji dibelanjakan untuk membeli keperluan Nurul Hidayah,” ujarnya.

Menurutnya, mereka baru sahaja mengemukakan semula permohonan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dihentikan pada 2019 kerana mendapat bantuan daripada pihak zakat.

“Sekarang pihak zakat pun telah menghentikan bantuan setelah dua anak lelaki kami bekerja di tempat yang sama dengan bapa mereka,” katanya.

Mereka yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi keluarga itu di talian 019-5623306. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya