Harga ayam segar naik lagi hari ini di seluruh negara

Harga ayam naik lagi hari ini

PENIAGA ayam bergantung kepada kos ditentukan pembekal sebelum meletakkan harga runcit kepada pembeli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Harga ayam segar di pasar awam di bandar raya ini meningkat lagi kepada RM9.60 sekilogram mulai hari ini selepas para peniaga dimaklumkan perkara itu oleh pembekal sejak semalam.

Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Pasar Awam Larkin Sentral, Abdullah Idris, 59, berkata, perubahan harga itu sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 40 sen di pasar terbabit berbanding RM9.20 setakat ini.

ABDULLAH IDRIS

Justeru, beliau berkata, peniaga ayam segar di negeri ini tidak menolak kemungkinan harga ayam melonjak sehingga RM10 sekilogram menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri berdasarkan trend kenaikan harga oleh pembekal. 

“Pihak pembekal memaklumkan kenaikan harga itu sejak semalam (kelmarin) lagi. Alasan  diberikan mereka adalah bahan makanan haiwan itu sudah meningkat. Dalam tempoh sebulan ini sahaja, harga ayam standard sudah naik sebanyak empat kali. 

“Tidak dinafikan terdapat rungutan daripada pembeli namun kami juga tersepit dan tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Larkin di sini, semalam. 

SHAHRAN OSMAN

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, harga ayam standard di Pasar Awam Ulu Tiram adalah RM9.50 sekilogram diikuti RM9.20 di Pasar Awam Larkin dan di Pasaraya Kipmart Tampoi yang turut menjadi pilihan pengguna pula masih RM8.50.

Sementara itu, peniaga ayam, Shahran Osman, 54, berkata, trend kenaikan harga ayam standard itu mengikut harga yang ditetapkan di negeri lain di Semenanjung tanah air.

Katanya, sekiranya pembekal menaikkan harga ayam, golongan peniaga tidak mempunyai pilihan lain selain turut mengikut rentak mereka dengan menaikkan harga. 

“Ada juga rungutan diterima daripada pelanggan tapi apakan daya, kami juga terikat dengan keadaan ini. Jika bekalan ayam segar semakin berkurangan menjelang raya, ada kemungkinan harga meningkat lagi.

SOEKARNO TALIB

“Setakat ini, tidak timbul isu ayam tidak terjual ataupun bekalan ayam segar tidak mencukupi di pasaran negeri ini disebabkan disorokkan oleh pembekal,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pengguna Bumiputera Negeri Johor, Soekarno Talib berkata, pihaknya akan cuba membantu sedaya mungkin bagi mengatasi masalah kenaikan harga ayam ini. 

“Persatuan Pengguna Bumiputera Negeri Johor sentiasa pantau harga ayam di pasar basah dan juga di sekeliling pasar raya di negeri ini khususnya di Johor Bahru.

“Kita akan memberi maklum balas bagi harga ayam yang direkodkan kepada kementerian terlibat. Kita berharap dengan pemantauan ini kita dapat memastikan harga itu stabil dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya