Harap MIC terus sokong Perikatan Nasional - Muhyiddin

Harap MIC terus sokong PN – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin ketika berucap dalam Perhimpunan Agung MIC Kebangsaan Kali Ke-71 2021 secara maya di Kalmg Selangor hari ini. - FOTO/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Perdana Menteri berharap parti komponen, MIC akan terus memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak kira pada masa ini dan akan datang.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam era politik baharu ini, semua parti mempunyai peranan dan sumbangan yang sama penting untuk menjaga kebajikan rakyat dan memajukan negara. 

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, semua perlu mengamalkan budaya politik yang berasaskan kepada persefahaman, perundingan dan konsensus dalam mencari jalan terbaik untuk memelihara kestabilan politik, membela nasib rakyat dan memacu kemajuan negara. 

“Dalam apa sahaja hala tuju politik yang diambil oleh parti politik, pertimbangan utamanya mestilah kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan individu atau kelompok yang kecil.

“Apa yang baik untuk rakyat dan negara, itulah yang sepatutnya menjadi prinsip panduan kepada mana-mana organisasi politik, termasuk MIC, dalam menentukan hala tuju parti pada masa hadapan.

“MIC yang terus memberikan sokongan kepada PN adalah satu tindakan yang rasional kerana dengan sokongan MIC ini, Kerajaan dapat terus berfungsi dengan baik dalam mentadbir negara dan memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat terutamanya dalam waktu yang sukar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Agung MIC Kebangsaan Kali Ke-71 2021 di sini hari ini secara maya.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, sumbangan MIC dalam memajukan masyarakat India baik dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain, telah berjaya meningkatkan taraf hidup masyarakat India di negara ini. 

“Setiap kejayaan yang dicapai oleh masyarakat India terdapat sumbangan MIC di sebaliknya. Oleh sebab itu, saya telah melantik wakil MIC dalam Kabinet iaitu Datuk Seri M Saravanan merupakan Timbalan Presiden MIC. 

“Pelantikan ini saya buat bukan atas dasar perwakilan daripada Barisan Nasional (BN) tetapi MIC yang mewakili masyarakat India untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa PN mengiktiraf peranan semua kaum,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya