Gambar Nicky di semua sempadan - Utusan Malaysia

Gambar Nicky di semua sempadan

ABD. Rahim Jaafar (tengah) memeriksa barisan kehormatan pada majlis perasmian bangunan IPD Temerloh di Temerloh, Pahang. UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Gambar Datuk Seri Nicky Liow Soon yang menjadi buruan telah diedarkan di kawasan kawalan sempadan bagi memastikan pengasas Winner Dynasty Group itu tidak keluar dari negara ini. 

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar berkata, setakat ini polis belum menerima sebarang maklumat individu berkenaan sudah melepasi sempadan negara. 

“KDNKA terutama Pasukan Gerakan Am (PGA) memperketatkan kawalan dengan gambar Nicky sudah diedarkan dan insya-Allah kalau dia cuba melalui sempadan kita akan tangkap.

“Setakat ini, tidak ada maklumat dia melepasi sempadan negara terutama menerusi jalan-jalan tikus dan sebagainya,” kata beliau pada sidang akhbar Majlis Perasmian Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Temerloh di sini hari ini.

Turut  hadir sama, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan; Timbalan Pengarah KDNKA, Datuk Azri Ahmad dan Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman.

Polis baru-baru ini melumpuhkan sindiket jenayah terancang  didalangi Nicky..

Dalam operasi bermula 20 hingga 28 Mac itu, polis melakukan 70 serbuan dan menahan seramai 118 individu termasuk dua adik kepada Nicky masing-masing bergelar Datuk Seri dan Datuk berusia 28 dan 30 tahun.

Menurut Abd. Rahim, usaha memburu Nicky terus dilakukan melibatkan semua pasukan polis di seluruh negara.

Sementara itu, mengulas mengenai usahawan kontroversi, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman beliau berkata, pada masa ini tiada pengesahan yang melaporkan usahawan kontroversi berkenaan berada di luar negara dan usaha mengesan terus dilakukan.

“Kita cuma dikatakan dia ada di Thailand cara mana dia masuk pun kita tidak tahu tetapi waktu dia dikatakan keluar itu kita masih belum minta bantuan ambil tindakan mungkin waktu itu dia ambil kesempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiada kebenaran kepada mana-mana individu untuk merentas negeri sempena permulaan Ramadan minggu depan dalam usaha berterusan mengelak penularan wabak Covid-19.

Kata beliau, tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana individu yang cuba menipu bagi mendapatkan kebenaran rentas negeri atau yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya