G-Shock Harimau Malaya istimewa buat peminat - Utusan Malaysia

G-Shock Harimau Malaya istimewa buat peminat

EDISI khas jam G-Shock Harimau Malaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat multinasional Jepun, Casio mengeluarkan jam tangan edisi terhad G-Shock Harimau Malaya selepas menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai tanda sokongan kepada skuad negara.

Perjanjian kerjasama membabitkan penajaan dan pelancaran jam tangan edisi terhad itu ditandatangani Pengarah Eksekutif Marco Corporation, Ong Sim Jeng dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini semalam.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Tajaan FAM, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, tajaan daripada syarikat elektronik gergasi Jepun menerusi pengedar rasminya di Malaysia, Marco Corporation adalah tanda bola sepak negara sudah mula mendapat perhatian syarikat swasta di negara ini.

“Keadaan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak Mac tahun lalu tidak menghalang syarikat swasta ini untuk tampil menzahirkan sokongan mereka terhadap skuad bola sepak kebangsaan.

Menerusi kerjasama ini, saya pasti ia akan menjadi motivasi untuk pemain skuad Harimau Malaya memulakan kembali kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang tertangguh akibat pandemik,” katanya.

HAMIDIN Mohd. Aman (berdiri belakang, tengah) pada majlis pelancaran jam G-Shock edisi Harimau Malaya semalam.

Sebagai simbolik pelancaran jam tangan Casio G-Shock edisi terhad itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menjadi individu pertama yang menerima jam tangan G-Shock edisi Harimau Malaya dengan nombor siri 001 daripada Pengarah Urusan Casio Malaysia, Tezuka Itsuro.

Jam tangan edisi Harimau Malaya ini menggunakan model asas G-Shock GA-2000-1A9 yang didatangkan dengan warna tradisi Harimau Malaya iaitu hitam dan kuning serta memiliki ukiran logo Harimau Malaya sekali gus menyerlahkan lagi gaya eksklusif dan unggul.

Sementara itu, Tezuka turut berkongsi rasa berbesar hati dengan kesudian FAM untuk menjalinkan kerjasama bersama syarikat multinasional Jepun itu.

“Reka bentuk G-Shock memang sudah terkenal dengan rekaan yang mengikuti trend semasa sekali gus menepati citarasa remaja pada hari ini. Saya pasti jam tangan edisi terhad ini akan mendapat tempat dalam kalangan penyokong bola sepak Malaysia.

“Kerjasama pertama antara Casio, Marco dan FAM ini ternyata mencerminkan tahap kualiti yang dikejar oleh FAM. Harapan saya agar skuad kebangsaan Malaysia sentiasa mengorak langkah ke arah kecemerlangan lebih-lebih lagi pada kempen Kelayakan Piala Dunia nanti,” katanya.

Jam edisi terhad itu hanya dikeluarkan sebanyak 999 unit dan diukir dengan nombor siri bermula 002 sehingga 999.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya