PETALING JAYA: Aktivis Fahmi Reza ditahan sehari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Permohonan reman dibenarkan oleh Majistret bermula hari ini bagi siasatan lanjut dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed mengesahkan mengenai penahanan pemilik akaun Facebook Mohd. Fahmi itu ditahan semalam kelmarin.
Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mengulas lanjut,Huzir memberitahu, penahanannya dibuat selepas polis menerima laporan berhubung penghinaan yang dibuatnya terhadap Raja Permaisuri Agong.
Terdahulu, pengguna media sosial di Malaysia terkejut setelah Tunku Azizah Aminah menyahaktifkan akaun Istagram miliknya selepas tanda pagar #DengkiKe sohor kini dalam laman Twitter.
Tanda pagar itu merujuk kepada komen Permaisuri Agong di akaun Instagramnya, tidak lama sebelum akaun @airtangan_tunkuazizah dinyahaktifkan.
Dalam pada itu, tangkap layar komen yang dikongsi secara meluas itu disertakan keterangan tentang aktiviti petang Tunku Azizah di dapur bersama cef istana.
Seorang pengguna media sosial kemudian bertanya adakah tukang masak istana telah divaksin, yang kemudian dikatakan dijawab Tunku Azizah dengan “Dengki ke?”.
Susulan itu Fahmi membuat hantaran menggunakan gambar Tunku Azizah dengan kapsyen ‘this is dengki ke?’ di Facebook yang dibuat sebagai gambar latar dalam aplikasi Spotify.
Hantaran yang dimuat naik Fahmi Reza di Facebook itu dikongsi semula lebih 700 pengguna laman sosial berkenaan. – UTUSAN