PETALING JAYA: Permohonan reman akan dibuat hari ini terhadap aktivis Fahmi Reza bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, aktivis atau pemilik akaun Facebook Mohd. Fahmi itu ditahan semalam di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, lelaki itu akan dibawa ke hadapan Majistret untuk permohonan reman.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mengulas lanjut,Huzir memberitahu, penahanannya dibuat selepas polis menerima laporan berhubung penghinaan yang dibuatnya terhadap Raja Permaisuri Agong.
“Polis menggesa orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta mengganggu gugat keharmonian negara.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dan mengganggu gugat ketenteraman awam,” tegasnya. – UTUSAN