Empat lagi Covid-19 varian South African B.1.351 dikesan - Utusan Malaysia

Empat lagi Covid-19 varian South African B.1.351 dikesan

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan empat lagi kes tempatan Covid-19 yang dijangkiti varian South African B.1.351 sekali gus  menjadikan bilangan pesakit varian tersebut meningkat kepada 21 kes. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia susulan daripada penemuan 17 kes varian terbabit yang dilaporkan dari Januari sehingga Mac lalu, dengan survelan genomik Covid-19 terus dijalankan dan melibatkan lebih banyak sampel dari negeri-negeri di seluruh negara.

Katanya, penemuan empat yang terbaharu itu adalah melalui survelan genomik yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi mengenal pasti dan mengesahkan kewujudan varian terbabit dari 15 April sehingga semalam. 

“Daripada empat kes itu, tiga dilaporkan di Kuala Langat, manakala satu kes lagi merupakan kes pertama di luar Selangor iaitu kes Covid-19 yang disahkan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan.

“Selain itu, melalui survelan genomik terkini bagi tempoh yang sama (15 April hingga semalam), sebanyak 29 kes Covid-19 telah menjalani jujukan genom penuh merangkumi Johor, Selangor, Putrajaya, Sabah, dan Sarawak. 

“Data genom SARS-CoV-2 bagi kes-kes ini menunjukkan kitaran lineage yang lazim dijumpai iaitu Malaysian B.1.524 di Semenanjung Malaysia dan B.1.466.2 di Sarawak yang dikategorikan sebagai bukan Variant of Concern,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam perkembangan lain, Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya, menyambut baik keputusan kerajaan mengenakan kawalan lebih ketat bagi pengembara yang baru tiba dari negara yang melaporkan penularan virus SARS-CoV-2 jenis VOC dalam komuniti di mana tempoh kuarantin dipanjangkan dari selama 10 hari kepada 14 hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN