Dua sindiket seludup, proses dadah RM17.75 juta tumpas 

Dua sindiket seludup, proses dadah RM17.75 juta tumpas 

ACRYL Sani Abdullah Sani menunjukkan mesin memproses dadah dipercayai untuk pasaran tempatan dan antarabangsa pada sidang akhbar di IPK Selangor, Shah Alam, hari ini. - FOTO/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua sindiket penyeludupan dan pemprosesan dadah tumpas apabila seramai 17 ahlinya ditahan dalam 10 serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, minggu lalu.

Dalam serbuan pada Selasa dan Rabu lalu di sekitar Kajang, Pandamaran dan Rawang itu, dadah bernilai RM17.75 juta berjaya dirampas.

Malah, seramai 17 ahli sindiket termasuk empat warga Bangladesh berusia 24 hingga 47 tahun ditahan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, menerusi operasi pertama di Kajang dan Pandamaran, pihaknya membongkar sindiket yang menyeludup masuk bekalan dadah ke negara ini dari selatan Thailand melalui jeti haram di Kelantan.

Menurutnya, seterusnya sindiket akan menggunakan melalui jalan laut dan udara melalui perkhidmatan kontena dan parcel untuk menyeludup dadah ke luar negara.

“Menerusi tujuh serbuan dalam operasi pertama ini, kita merampas 354 slab heroin base seberat 134 kilogram (kg) dan 101 bungkusan plastik berisi syabu seberat 104 kg.

“Dadah yang dirampas bernilai RM15.2 juta. Selain itu, kita turut merampas dua alat pengewapan pemprosesan dadah dan sebuah ketuhar besar untuk tujuan pengeringan dadah.

“Manakala, dalam operasi kedua pula melibatkan sebuah makmal haram memproses dadah dengan merampas 22 kg dan 37.15 kg cecair masing-masing ketamin dianggarkan RM2.35 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, siasatan mendapati kedua-dua sindiket beroperasi sejak Februari lalu dengan keseluruhan dadah dirampas boleh digunakan kepada 9.7 juta penagih dadah.

“Malah, ujian air kencing mendapati lima daripada kesemua suspek positif ketamin selain dua juga mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kita turut menyita RM1.07 juta dengan melibatkan 10 buah kereta, empat motosikal, wang tunai, barang kemas dan akaun bank,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua individu terbabit kini direman antara sehari hingga tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata,  dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 92 sindiket dadah berjaya ditumpaskan dengan rampasan melibatkan 12 tan dadah bernilai RM343 juta.

“Berbanding tahun lalu, sebanyak 305 sindiket dadah dengan penangkapan 1,204 orang selain rampasan dadah berjumlah 14 tan dadah bernilai RM405 juta,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya