SEPANG: Dua sindiket penyeludupan minuman keras bernilai RM1.89 juta termasuk cukai berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan di beberapa buah gudang di Balakong, dekat sini baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, serbuan dilakukan secara berasingan di dua buah gudang di kawasan perindustrian di Balakong pada 5 April lalu.
Beliau berkata, menerusi serbuan pertama, sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit III (LTAKL) berjaya menyita sebanyak 72,486 liter minuman keras dengan nilai sitaan sebanyak RM431,748 manakala jumlah cukai dielakkan sebanyak RM1.15 juta.
Katanya, sebuah lori dan forklift yang masing-masing dianggarkan bernilai RM60,000 dan RM25,000 turut disita dalam serbuan tersebut.
“Dua suspek terdiri seorang warga tempatan berusia 51 tahun dan warga asing berusia 27 tahun ditahan dan dituduh di Mahkamah Majistret Kajang di bawah Seksyen 135(1)d Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Zazuli berkata, serbuan seterusnya melibatkan sebuah lagi gudang di kawasan sama dengan sebanyak 15,022.8 liter minuman keras bernilai RM75,114 disita.
“Ia membabitkan jumlah cukai dan duti yang dielakkan sebanyak RM234,731.25. Selain itu turut disita, sebuah van dan forklift masing-masing bernilai RM30,000 dan RM25,000.
“Empat suspek terdiri daripada seorang warga tempatan dan tiga warga asing berusia lingkungan 34 hingga 44 tahun ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(a) Akta Eksais 1976,” katanya.
Katanya, hasil siasatan mendapati, kesemua minuman keras yang disita adalah diimport dari luar negara tanpa lesen import sah dan tanpa membayar cukai duti ke atasnya. – UTUSAN