SEREMBAN: Dua sahabat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menipu dengan menyamar sebagai pegawai imigresen untuk meminta suapan RM500 daripada seorang majikan supaya tindakan tidak diambil ke atas pekerja warga Pakistan, lima tahun lalu.
Tertuduh pertama, penganggur, Sufian Hadi Mohamad Su, 43, yang hadir ke mahkamah dengan memakai tongkat mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Madihah Harullah.
Bagaimanapun, rakannya Shahrul Abdul Manap, 42, yang merupakan pembantu awam di Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Mengikut pertuduhan pilihan, kedua-dua tertuduh, didakwa memperdaya Saifullah Sher Aziz iaitu majikan kepada seorang pekerja warga Pakistan untuk mempercayai bahawa mereka adalah seorang pegawai imigresen hingga mendorong mangsa memberikan wang tunai berjumlah RM500.
Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerja itu kerana bekerja di kedai perabot menggunakan permit kerja ladang.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kereta medan selera pasar raya Mydin, Seremban 2 di sini kira-kira pukul 5.50 petang pada 19 Februari 2016.
Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sufian Hadi yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu didenda RM6,000 atau sepuluh bulan penjara jika gagal membayar denda itu.
Bagi tertuduh kedua, Shahrul yang mengaku tidak bersalah pula, mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM7,000 dan menetapkan 24 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali. -UTUSAN ONLINE