PETALING JAYA: Dua peniaga yang dikompaun RM50,000 oleh polis di Kota Bahru, Kelantan masih boleh dirayu menggunakan alasan yang munasabah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ini kerana kompaun tersebut bukan seperti hukuman mati.
“Itu bukanlah ‘hukuman mati’ yang keputusan adalah bukan muktamad. Saya sudah berkali-kali nyatakan mereka boleh merayu kepada Kementerian Kesihatan.
“Ia bukan ‘mati’ di situ, boleh merayu dan berikan faktor-faktor yang boleh dimaafkan atau diringankan jumlah kompaun,” katanya selepas majlis penyampaian Surat Penghargaan Tolak Rasuah PDRM di Bukit Aman, di sini hari ini.
Pada masa sama, Abdul Hamid berkata, pihaknya akan mendapatkan perincian sebenar mengenai kejadian itu.
“Saya hendak mendengar kedua-dua belah pihak, saya percaya anak buah saya lakukan kerja itu dengan ikhlas tetapi mereka yang terkesan tadi rasa ia tidak adil,” katanya.
Kes dua peniaga itu tular menerusi media sosial dengan seorang peniaga burger mendakwa dikompaun RM50,000 kerana dikatakan masih berniaga kira-kira pukul 11 malam sekitar sekalipun gerai burger di depan rumahnya.
Gerai tersebut tidak lagi dibuka kepada pelanggan, sebaliknya dia hanya menyiapkan pesanan untuk dihantar kepada pekerja kilang.
Satu lagi kes membabitkan pasangan suami isteri yang berniaga colek di depan rumah mereka juga kerana beroperasi melebihi masa yang dibenarkan.
Kelantan kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan hingga 29 April yang antara lain mengehadkan waktu operasi perniagaan bagi membendung penularan kes Covid-19. – UTUSAN