ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan dua nelayan tempatan kerana disyaki menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan pada kedudukan 0.3 batu nautika pesisir pantai Kuala Kangkong, di sini semalam.
Suspek ditahan dalam rondaan Op Aman oleh penguat kuasa agensi itu pada pukul 10.30 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, sebaik sahaja menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, suspek berusia 30 dan 31 tahun itu melarikan diri ke kawasan pesisiran pantai yang lebih cetek bagi menyukarkan bot agensi menghampiri mereka.
“Namun bot suspek dapat dipintas dan ditahan selepas berlaku adegan kejar buru hampir 15 minit di pesisir pantai.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan menemukan dua batang buluh dan sebidang pukat serta sejumlah hasil tangkapan udang segar yang dianggarkan lapan kilogram bernilai RM280,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, hasil tangkapan dan peralatan bersama bot beserta sebuah enjin yang diubah suai daripada enjin kereta jenama tempatan dengan anggaran keseluruhan RM22,280 itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen yang sah,” ujarnya.
Menurutnya, banyak aduan diterima Zon Maritim Kuala Kedah berkaitan isu penggunaan pukat rawa sorong berikutan penggunaannya yang diharamkan kerana ia memerangkap ikan lebih kecil dan benih udang.
“Selain itu ia merosakkan ekosistem dasar laut negara dan turut mengganggu pertumbuhan sumber perikanan negara pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE