Dua kampung berjiran dikenakan PKPD - Ismail Sabri

Dua kampung berjiran dikenakan PKPD

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua perkampungan yang berjiran di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula esok sehingga 17 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti itu ialah Kampung Binyu Baru di Bahagian Samarahan dan Kampung Binyu Lama di Bahagian Kuching.

Dua perkampungan berkenaan hanya dipisahkan oleh Sungai Sarawak dan terletak hanya 13 kilometer dari pusat bandar raya ibu negeri Kuching melalui Lebuh Raya Kuching-Samarahan.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan ujian saringan ke atas 11 orang di Kampung Binyu Baru dengan empat kes positif direkodkan,” katanya melalui kenyataan di sini.

Sementara di Kampung Binyu Lama pula ujar beliau, sebanyak 57 kes positif Covid-19 telah direkodkan sehingga 1 April lalu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak awal pagi ini mengisytiharkan wabak tersebut muncul hasil daripada kluster baharu yang melibatkan satu majlis perkahwinan di Jalan Tanjung Bako.

Individu bergejala itu dikesan daripada saringan di fasiliti kesihatan Daerah Kuching pada 30 Mac lalu serta dirujuk ke Hospital Umum Sarawak dan Pusat Kuarantin Covid-19 di Kuching.  

Justeru katanya, setelah dibuat penilaian risiko dengan pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju pelaksanaan PKPD di dua lokaliti berkenaan selama dua minggu.

Ini bagi memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan secara bersasar serta mengawal pergerakan para penduduk dan menghalang penularan wabak dalam komuniti.

“Langkah itu juga memudahkan tindakan kawalan dijalankan dengan cepat dan berkesan serta memudahkan pengesanan awal kes disyaki Covid-19 agar pesakit diasingkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN