Dua bot Vietnam, 19 kru ditahan ceroboh perairan negara

Dua bot Vietnam, 19 kru ditahan ceroboh perairan negara

SALAH sebuah bot Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Mersing ketika menceroboh perairan negara berdekatan Pulau Pemanggil, Mersing, Johor. - MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Dua bot Vietnam bersama 19 kru berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing pada kedudukan 10 batu nautika timur laut dari Pulau Pemanggil, di sini ketika menceroboh perairan negara.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, kesemua kru termasuk seorang tekong berumur 18 hingga 52 tahun itu ditahan pada pukul 2 pagi dalam satu operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan.

“Kedua-dua buah bot ditahan kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran. Manakala kesemua 19 kru pula ditahan kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia.

“Kes turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-dua bot serta 19 kru diiringi ke Jeti Maritim Malaysia Pos teluk Gading untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kesemua tahanan juga akan menjalani saringan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga dalam membendung penularan wabak yang sedang melanda.

“Maritim Malaysia memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.

“Kami juga komited dalam usaha mencegah penularan Covid-19 di negara ini melalui perairan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya