Bayaran dividen sehingga umur 75 tahun tidak terpakai - KWSP 

Dividen 75 tahun tidak terpakai – KWSP

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan kononnya pembayaran dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga umur 75 tahun adalah tidak lagi terpakai.

KWSP dalam satu kenyataan mengesahkan perkara berkenaan dan menyifatkan ia sebagai kenyataan lama selepas tersebar menerusi aplikasi WhatsApp dan platform media sosial lain berhubung umur maksimum bagi pembayaran dividen itu.

Menurut KWSP, pihaknya telah menggesa kepada ahli supaya berwaspada terhadap maklumat tidak sahih yang dihebahkan melalui saluran media sosial.

“Ahli juga perlu sentiasa mengesahkan sumber dan tarikh maklumat tersebut.

“Selain itu ahli  juga dinasihatkan supaya tidak berkongsi atau menguar-uarkan maklumat yang tidak sahih,” katanya hari ini.

KWSP sebelum ini mengumumkan, setiap ahli yang memilih untuk mengekalkan sebahagian daripada simpanan mereka dalam akaun KWSP akan terus menerima bayaran dividen ke atas simpanan tersebut sehingga umur 100 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2017.

Katanya, langkah ini diperkenalkan susulan pindaan ke atas Akta KWSP 1991, yang bertujuan membolehkan ahli yang memilih untuk mengekalkan simpanan di KWSP selepas persaraan untuk terus memanfaatkan gandaan dividen sehingga semua simpanan dikeluarkan oleh ahli.

“Kita akan memaklumkan kepada ahli dan hanya akan memindahkan sebarang simpanan yang tidak dituntut apabila ahli berumur 100 tahun.

“Sebarang tuntutan selepas pemindahan tersebut boleh dibuat melalui Pendaftar Wang Tidak Dituntut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN