Data percuma 1GB dilanjut hingga 31 Julai - Utusan Malaysia

Data percuma 1GB dilanjut hingga 31 Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Pemberian data percuma 1GB secara harian sejak April tahun lalu bagi membantu rakyat menghadapi norma baharu digitalisasi semasa dilanda pandemik Covid-19, dilanjutkan sehingga 31 Julai ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu berdasarkan persetujuan diberikan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama iaitu Celcom, Digi, Maxis, U-Mobile dan Telekom Malaysia (TM).

“Lanjutan terbaharu ini dibuat sebagai sokongan tambahan kepada rakyat atas ihsan dan keprihatinan syarikat-syarikat telekomunikasi memandangkan situasi pandemik Covid-19 di negara ini belum stabil.

“Tambahan ia untuk membantu pelajar-pelajar sekolah beralih semula kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas Aidilfitri seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan baru-baru ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kuota harian 1GB percuma adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada dan boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video serta menguruskan bahan-bahan pengajaran menerusi emel sepanjang hari tanpa sekatan waktu.

“Ia tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video, penstriman muzik dan permainan dalam talian,” ujarnya.

Pada masa sama, katanya, YTL Communications Sdn. Bhd (YTL) turut menyatakan sokongan untuk terus menyokong sistem pendidikan dengan melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 September ini.

“Ia turut merangkumi penuntut institusi pengajian tinggi.

“Pakej istimewa ini menyediakan kad SIM percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan percuma dan telefon pintar percuma untuk pelajar daripada keluarga B40,” katanya.

SKMM berharap lanjutan pemberian 1GB data percuma harian itu diharap dapat memberi kelegaan kepada rakyat menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, pekerjaan dan lain-lain.

“Kerajaan terus menggerakkan inisiatif-inisiatif seperti Jalinan Digital Negara (Jendela) dan Pelan Tindakan MyDIGITAL untuk memastikan agenda pembangunan yang berteraskan digitalisasi dilaksanakan secara inklusif tanpa ada golongan yang terpinggir,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN