PUTRAJAYA: DAP diminta tidak terus cuba menipu rakyat dalam isu tapak Taman Rimba Kiara kerana ia langsung tidak menjejaskan alam sekitar selain tidak mengganggu lot perumahan lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (WP), Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, rancangan pembangunan di tapak tersebut sememangnya dikhususkan untuk perumahan dengan lot taman rimba lain tidak akan terjejas sama sekali dengan banyak penambahbaikan dilakukan terutama dalam soal kepadatan penduduk.
“Lot ini telah 40 tahun menjadi perumahan untuk komuniti India, lot lain taman rimba itu tidak diusik walaupun seinci dan saya berharap wakil rakyat DAP, Hannah Yeoh tidak terus menipu rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas catatan Yeoh dalam akaun Facebook miliknya yang mempersoalkan laporan sebuah portal berita mengenai rancangan kerajaan untuk menanam sejuta pokok di kawasan Wilayah Persekutuan pada tahun ini dengan menyebut “But he wants to develop Taman Rimba Kiara by appealing the court decision in favour of residents?!”
Mengulas lanjut, Zaizalnizam berkata, sekiranya benar projek itu akan menjejaskan alam sekitar, mengapa menteri Pakatan Harapan sebelum ini tetap meneruskan projek itu.
“Ternyata ini semua hanya mainan politik wakil rakyat DAP kerana ada satu lagi pembangunan di kawasan bersebelahan dan kenapa DAP tidak bising pula mengenainya,” katanya.
Justeru, pihaknya memberi jaminan projek tersebut tidak akan menjejaskan alam sekitar, malah tidak akan menyebabkan kesesakan kepada penduduk Taman Tun Dr. Ismail selain menawarkan rumah mampu milik di kawasan tersebut.
Isu Taman Rimba Kiara mendapat perhatian apabila ia dibawa ke mahkamah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan pertikaian antara pihak pemaju dengan persatuan penduduk kawasan tersebut.
Namun begitu, pada tahun 2019, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dilaporkan berkata, sebenarnya tidak ada isu lagi berkaitan Taman Rimba Kiara seperti yang dibangkitkan Persatuan Penduduk dan Badan Pengurusan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan beberapa pihak. – UTUSAN ONLINE