KOTA TINGGI: Kehadiran sekumpulan monyet liar yang setiap hari mengganggu orang ramai termasuk menceroboh rumah mereka menyebabkan penduduk di Felda Penggeli Timur, Kota Tinggi, di sini, buntu untuk mengatasi masalah itu.
Menurut penduduk, meskipun dihalau dengan pelbagai cara, kumpulan monyet liar itu tetap ‘bertandang’ kembali ke kawasan rumah mereka untuk mencari makanan.
Seorang penduduk di Jalan Nuri, Abdul Majid Abdul Kadir, 67, berkata, dia berdepan masalah gangguan monyet sejak menduduki rumah tersebut bertahun-tahun lalu.
“Sudah tak kuasa nak halau monyet, bila pintu rumah terbuka haiwan itu masuk mencari telur. Kami di sini tidak boleh leka dengan memastikan pintu rumah sentiasa ditutup.
“Keadaan ini sudah lama berlaku, namun semakin menjadi-jadi sejak beberapa minggu ini. Pada awalnya saya halau menggunakan lastik, lama-lama jadi bosan dan tak kuasa lagi kerana monyet liar ini datang kembali,” katanya di sini semalam.
Abdul Majid berkata, haiwan terbabit sering menganggu rumahnya dan penduduk lain pada waktu pagi dan petang serta ‘pantang’ melihat pintu kediaman mereka terbuka.
Katanya, kawasan rumahnya yang berhampiran belukar turut menjadi faktor kehadiran monyet ke kawasan tersebut.
“Jika waktu musim buah-buahan memang monyet liar yang ‘kerjakan’ pokok-pokok yang ada. Kami hanya mampu lihat sahaja buah-buah tersebut tanpa sempat merasa pun,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim menyerahkan sumbangan sebuah perangkap bersaiz besar untuk diletakkan di kawasan berkenaan yang menjadi lokasi tumpuan masalah tersebut.
Katanya, beliau dimaklumkan berkenaan gangguan haiwan itu yang dihadapi penduduk di kawasan tersebut sejak beberapa minggu lalu.
Selain kampung itu, Hahasrin berkata, pihaknya juga akan menyerahkan bantuan sama secara berperingkat di beberapa kawasan lain termasuk taman dan kampung yang berdepan masalah monyet serta anjing liar.
“Kawasan seperti di Surau Kampung Temenin Baru juga telah menerima sumbangan perangkap sama untuk mengatasi isu gangguan monyet liar ini. Haiwan itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan atau pihak Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE