Daftar karya, elak diciplak - Ujang - Utusan Malaysia

Daftar karya, elak diciplak – Ujang

PENGALAMAN lalu menjadikan Ujang kini lebih berwaspada dan menasihati rakan-rakan supaya mendaftarkan hasil karya masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kartunis tanah air, Ibrahim Anon yang lebih popular dengan nama Ujang, mula berwaspada dengan pihak-pihak yang sentiasa menunggu peluang untuk membuat keuntungan secara mudah dan tidak bermaruah dengan menciplak hasil karyanya.

Kata beliau kepada Utusan Malaysia, peristiwa lalu memberi kesedaran kepadanya tentang betapa pentingnya mendaftar hak karya bagi mengelakkan ia dirampas dan diciplak.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa para kartunis supaya mengambil inisiatif dengan mendaftarkan tanda dagang pada setiap hasil karya masing-masing.

“Selain itu, mematenkan karya dahulu sebelum menyerahkannya kepada pihak lain untuk diterbitkan atau diniagakan.

“Selanjutnya, kartunis juga perlu meluangkan masa membuat carian dalam internet dan cuba memahami betapa pentingnya karya-karya anda dilindungi,” katanya.

Dalam pada itu, Ujang berharap industri kartun terus berkembang di Malaysia serta boleh dijadikan kerjaya profesional oleh belia-belia yang berbakat dan berminat dalam bidang seni lukis.

“Terkini, saya baru selesaikan 12 episod siri travelog Eksplentis bersama produksi Adi Karya Sdn Bhd yang akan diterbitkan oleh TV Alhijrah tidak lama lagi di samping mengeluarkan produk-produk seperti baju T di bawah label Eksplentis bersama Expertees Sdn Bhd,” ujarnya.

Sementara itu, Ujang dinobatkan sebagai Tokoh Kartunis Malaysia 2021 bersempena sambutan Hari Kartunis yang disambut pada 1 April lalu.

Turut menerima anugerah iaitu 11 Tokoh Kartunis Negeri yang terdiri daripada kartunis Halim Hasan dari Perak, Onan (Kedah); Woren (Pahang), Ckeens (Johor), Pheno (Terengganu), Ozom (Kelantan), Mi (Pulau Pinang), Oly (Selangor/Wilayah Persekutuan), Akunapie (Perlis), Katon (Melaka/Negeri Sembilan) serta Binjai Jaini dari Sabah/Sarawak.

Sambutan yang dibuat menerusi atas talian itu yang dianjurkan Rumah Kartun dan Komik Malaysia itu bertujuan menghargai para penggiat kartun dan komik tanah air.

Presiden Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM), Mohd. Desa Omar berkata, kartunis tempatan masih lagi cemerlang dan tiada istilah malap, malah semakin mendapat sambutan sejajar dengan kemajuan teknologi.

Mohd. Desa memberitahu, kartunis perlu berusaha mempersembahkan karya lebih baik dan menarik sementelah komik mencerminkan budaya dan masyarakat Malaysia.

“Kartunis juga perlu menjaga keaslian hasil karya supaya dapat membina identiti sendiri. Ini dapat elakkan kita didakwa meniru hasil karya kartun Jepun seperti mana yang pernah diperkatakan dahulu,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya