Calon DAP akan hilang wang deposit jika bertanding di Kelantan - Utusan Malaysia

Calon DAP akan hilang wang deposit jika bertanding di Kelantan

CHE Abdullah Mat Nawi (dua dari kiri) menyampaikan Geran Agroprenur Muda kepada usahawan Perlis pada Program Agropreneur Muda di Hotel Seri Malaysia Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Pas yakin DAP bakal hilang wang deposit jika bercita-cita meletakkan calon di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya yakin rakyat negeri itu yang terdiri daripada 95 peratus masyarakat Melayu Islam bukan sahaja akan menolak DAP, malah, Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya tersebut.

Katanya, Pas juga percaya kerusi mereka tidak akan diganggu oleh DAP, sebaliknya usaha parti tersebut untuk bertanding di Kelantan menunjukkan kerja keras yang dilakukan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan cuba meletakkan DAP di negeri tersebut.

“Saya yakin rakyat Kelantan akan memastikan mereka (DAP) akan hilang deposit. Cuma, kita akan lihat nanti Amanah akan tunjuk dengan jelas mereka bekerja untuk DAP.

“Sebelum ini, kalau kita sebut mereka (Amanah) adalah pendukung DAP, mereka akan menafikannya. Jika DAP bertanding di Kelantan, sudah pasti mereka akan berusaha keras bagi memastikan DAP menang,” katanya ketika ditemui selepas Program Agropreneur Muda di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Bendahari Kebangsaan DAP, Fong Kui Lun memaklumkan DAP bercadang meletakkan calon untuk bertanding di Kelantan pada PRU-15 susulan kejayaan parti itu mengadakan konvensyen di negeri itu buat julung kalinya pada Jumaat ini.

Kui Lun dilaporkan berkata, DAP pusat akan berbincang dengan wakil negeri itu untuk meletakkan calon tempatan tidak kira Melayu, Cina atau India, asalkan calon tersebut memiliki integriti.

Sementara itu, mengulas mengenai pembahagian kerusi di Kelantan, Che Abdullah berkata, pihaknya kini dalam proses perbincangan awal dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, beliau berkata, proses tersebut tidak bermakna Pas menutup pintu perbincangan dengan UMNO.

“Seperti yang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebut sebelum ini, kita mahu memperkukuhkan muafakat dan masih tidak berputus asa dengan hasrat untuk menyatukan ummah.

“Proses perbincangan itu ada dengan Bersatu, cuma, di Kelantan ini kedudukan politik agak jelas jadi perbincangan mungkin dalam satu atau dua jam pun selesai.

“Apa yang penting adalah penyatuan ummah bagi menjamin PH tidak kembali mentadbir negara seperti mana sebelum ini yang menjadi pengajaran kepada orang Melayu dan bukan Islam yang mencintai kedamaian serta keharmonian,” ujarnya.

Ditanya isu audio perbualan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, terserah kepada polis menyiasat sama audio tersebut tulen atau tidak.

“Bagi saya, sebagai parti politik mereka tidak boleh diganggu untuk bercakap dengan sesiapa pun. Masing-masing mempunyai kebebasan sendiri asalkan ia tidak ada berkaitan dengan isu keselamatan yang perlu diambil tindakan oleh polis,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya