JEMPOL: Seorang buruh ladang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bahau di sini hari ini atas tuduhan memiliki 584 karton rokok pelbagai jenis disyaki rokok seludup pada 12 April lalu.
Tertuduh, Khan Mosharaf, 44, warganegara Bangladesh membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab setelah jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan.
Majistret menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dari tarikh tertuduh ditangkap.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 12 April lalu di Pasar Sementara Felda Palong 4, 5, 6 dan di rumah kongsi tidak bernombor di Felda Palong 6.
Nilai keseluruhan rokok seludup berkenaan adalah sebanyak RM5,781.
Barang berkenaan adalah dilarang import di bawah perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah 135 (1)(v)(aa)Akta Kastam.
Pendakwaan kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi. – UTUSAN ONLINE