PETALING JAYA: Kerana dendam sering dibuli ketika bekerja, seorang lelaki sanggup membunuh rakan sekerjanya di sebuah rumah di Jalan Kemajuan, di sini kelmarin.
Lebih kejam, mangsa berusia 20 tahun itu maut selepas dipercayai dijerut menggunakan wayar elektrik sebelum ditikam serta dikelar dilehernya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam di kediaman yang disewa mereka.
Kata beliau, suspek dan mangsa adalah rakan serumah namun ketika kejadian itu, suspek dipercayai membawa dua lagi individu ke rumah mereka dengan alasan untuk menyamun mangsa.
“Dua lelaki itu bersetuju tanpa mengetahui niat sebenar suspek adalah untuk membunuh mangsa dan bukan untuk menyamun.
“Mangsa yang pulang ke rumah kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu kemudiannya diserang kesemua suspek sebelum suspek utama menjerut, menikam mangsa,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abd. Khalid memberitahu, susulan itu, suspek kemudian memasukkan membungkus mayat mangsa dengan plastik sampah sebelum dimasukkan ke dalam beg dan dibuang ke dalam tong sampah.
“Ketiga-tiga individu berkenaan kemudian membawa turun tong sampah yang mengandungi mayat mangsa sebelum di buang ditepi jalan di Persiaran Kewajipan.
“Tindakan suspek dan rakannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) apartmen berkenaan oleh ibu saudara mangsa selepas mangs gagal dihubunginya,” jelasnya.
Tambah Abd. Khalid, bertindak atas itu, sepasukan polis kemudiannya menemukan karpet dan dompet milik mangsa di bawah jejantas di lokasi itu.
Selepas penemuan itu, kata beliau, pihak polis terus menjejaki mangsa sebelum menemukan tong sampah berwarna hitam mengandungi mayat mangsa kira-kira 1.5 kilometer dari rumah sewanya.
“Berdasarkan rakaman cctv itu polis kemudian menahan tiga lelaki dalam serbuan berbeza di Kampung Sri Rusa, Port Dickson dan Flat Keramat Jaya Sri Perlis,” katanya.
“Siasatan awal terhadap suspek utama mendapati kejadian berlaku akibat dendam lama.
“Malah, suspek turut mengakui pernah bekerja bersama mangsa selama enam hari dan mendakwa sering dibuli menyebabkan dia menyimpan dendam terhadapnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, tambah Abd. Khalid, hasil ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati semua mereka negatif dadah.
“Kesemua individu yang ditahan di reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 26 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN