KEMAMAN: Seorang kanak-kanak tujuh tahun maut dilanggar lori arang batu selepas terjatuh dari motosikal ditunggang neneknya di Kilometer 172, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Felda Neram di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Felda Neram 1, Muhammad Nur Rifqi Khairilamru meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mangsa bersama neneknya, Sapor Mad Zin, 59, dan seorang lagi sepupu, Ton Muhammad Shafiq Ilham Ton Mohd. Ali, 7, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Baru Felda Neram 1 dari ladang yang terletak berhampiran.
“Motosikal Honda Dash dari arah Jabor ke Jerangau itu difahamkan tergelincir semasa melalui bahu jalan tinggi sebelum hilang kawalan hingga menyebabkan mangsa terjatuh dan dilanggar lori Isuzu yang datang dari belakang.
“Motosikal itu terbabas ke kiri jalan dan mengakibatkan nenek serta sepupu mangsa turut terjatuh,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Hanyan berkata, mayat Muhammad Nur Rifqi dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut manakala nenek dan sepupunya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, Pahang untuk menerima rawatan.
Katanya, pemandu lori berusia 36 tahun dari Kampung Sri Chempaka, Kuantan tidak cedera. – UTUSAN