PETALING JAYA: Seorang lelaki dan wanita warga China yang bekerja sebagai penjaga premis bitcoin ditahan dalam serbuan di tiga premis itu di Atmosphere 5, Pusat Perdagangan Bandar Putra Permai dekat sini pada 8 April lalu.
Serbuan itu dijalankan hasil risikan Ibu pejabat Polis Daerah Serdang bersama pasukan Seal Team Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor
Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Mohd. Rosdi Daud berkata, serbuan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti melombong bitcoin menggunakan arus elektrik secara haram.
Katanya, dalam serbuan itu, pihak polis turut menahan dua pekerja warga China masing- masing berusia 32 dan 38 tahun.
“Semakan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Suspek direman sehingga 28 April ini bagi membantu siasatan.
“Tiga lagi premis di Jalan Damai 2, Taman Damai Utama, Sabtu lalu turut diperiksa dipercayai menjalankan aktiviti melombong bitcoin menggunakan arus elektrik secara haram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rosdi, bagaimanapun tiada tangkapan dalam serbuan tersebut.
Katanya, sebanyak 297 mesin mining dan sembilan blower dengan nilai anggaran rampasan RM100,000 dirampas polis.
“Hasil risikan premis terbabit sudah beroperasi selama sebulan dengan memilih rumah kedai atau kawasan pejabat yang sunyi atau kurang dilalui orang awam.
“Sindiket turut menggunakan beberapa lapis penghadang dinding dan pintu tebal bagi mengelak bunyi kuat keluar dari premis,” katanya.
Menurut Mohd. Rosdi, akibat itu, TNB mengalami kerugian RM130,000 sebulan.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan dan 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990 atas kesalahan cuai mencuri arus elektrik dan melakukan khianat terhadap harta TNB. – UTUSAN