KUALA LUMPUR: Perbicaraan dua kes saman fitnah oleh penceramah bebas, Dr. Zakir Naik terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr. P. Ramasamy di Mahkamah Tinggi di sini bermula Disember ini.
Menurut peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr. Zakir atau nama penuhnya, Zakir Abdul Karim Naik, perbicaraan tersebut sepatutnya bermula Mac lalu namun ditangguhkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Mahkamah menetapkan tarikh 20 hingga 22 Disember ini dan 14 hingga 17 Mac 2022 untuk perbicaraan kes ini. Perbicaraan membabitkan dua kes saman kerana ia membabitkan defendan (Ramasamy) orang yang sama,”katanya ketika ditemui media hari ini.
Peguam itu turut memberitahu, Dr. Zakir akan hadir pada perbicaraan tersebut untuk memberi keterangan selain empat saksi lain manakala defendan akan memanggil enam saksi.
Tarikh tersebut ditetapkan Hakim Mohd. Firuz Jaffril sewaktu pengurusan kes hari ini. Tarikh perbicaraan ditetapkan sebelum ini ialah 22 hingga 26 Mac 2021.
Pada 16 Oktober 2019, Dr. Zakir selaku plaintif menyaman Ramasamy atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah mengaibkannya dengan gelaran yang tidak sopan di laman Facebook milik defendan.
Defendan juga sekali lagi mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif, pada 1 Okober 2017, di mana artikel mengenainya dimuat naik di laman portal Free Malaysia Today (FMT), pada hari sama.
Dakwanya, pada 11 Ogos 2019, defendan memanipulasikan jawapannya ketika berucap dalam ceramah dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan dan ia juga disiarkan di laman portal FMT pada hari sama serta mendakwa defendan pada 20 Ogos tahun sama, turut mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif, yang disiarkan media antarabangsa, India Today.
Dr. Zakir mendakwa, kenyataan itu membawa maksud seolah-olah beliau berperwatakan jahat dan mengancam keamanan, serta keharmonian negara.
Oleh itu, plaintif menuntut injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan, menerbitkan atau memuat naik kenyataan fitnah sama, selain menuntut permohonan maaf dan ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan, serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai.
Pada Disember 2019, Dr Zakir sekali lagi menyaman Ramasamy selepas mendakwa defendan memfitnahnya, melalui komen yang disiarkan dalam portal The Malaysian Insight berhubung isu LTTE.- UTUSAN