SHAH ALAM: Syarikat Padibernas Nasional Berhad (Bernas) mengagihkan 1,500 bungkus bubur lambuk kepada anggota polis Selangor.
Ketua Pegawai Kewangan Central Sugar Refinery Sdn. Bhd. (CSR), Mohd. Azahar Mohd. Salleh berkata, lebih 30 warga kerja Bernas, CSR dan Syarikat Era Bayam Kota Sdn. Bhd. (ERA) mula menyediakan enam periuk bubur lambuk itu sejak 8 pagi di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
“Mereka semua teruja menyediakan bubur lambuk yang disiapkan kira-kira pukul 2 petang.
“Kami harap bubur lambuk ini dapat memberikan sedikit keceriaan kepada anggota polis yang bertugas dalam bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui selepas program agihan bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan di Surau Khalid Al-Walid di IPK Selangor, di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohd. Azahar turut menzahirkan perhargaan kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed kerana sudi menerima sumbangan daripada Bernas, CSR dan ERA.
Sementara itu, Arjunaidi berkata, kesemua bubur lambuk akan diagihkan kepada anggota polis yang bertugas di empat sekatan jalan raya (SJR) sekitar Petaling Jaya.
Menurutnya, bubur lambuk tersebut diagihkan kepada anggota di SJR Petaling Jaya memandangkan daerah tersebut masih lagi aktif menjalankan operasi berkenaan.
“Pihak CSR mengagihkan kesemua bubur lambuk di SJR Plaza Tol Subang, Damansara dan Plaza Tol Susur Sungai Buloh.
“Seramai 25 anggota polis yang bertugas di setiap SJR ini sepanjang bulan Ramadan,” katanya. – UTUSAN ONLINE