PETALING JAYA: Larangan perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan, sekali gus umat Islam tidak boleh ‘balik kampung’ untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perjalanan antara daerah di negeri sama dibenarkan, kecuali di Sabah dan Sarawak.
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan perayaan Hari Raya Aidilftri pada pertengahan bulan depan masih lagi diteliti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum dapat dimuktamadkan.
“Insya-Allah, saya sendiri akan mengumumkan SOP itu setelah lengkap dalam masa terdekat sebelum umat Islam meraikan Hari Raya Puasa nanti,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau menambah, pihak Jakim ketika ini sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara mengenai SOP perayaan itu sebelum dapat diumumkan.
Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut Aidilfitri pada 13 atau 14 Mei depan.