Bekas Ketua Hakim Negara beri keterangan - Utusan Malaysia

Bekas Ketua Hakim Negara beri keterangan

ZAKI TUN AZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi hari ini dipanggil sebagai saksi kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang dibicarakan atas tuduhan dokumen palsu.

Beliau dipanggil atas kapasitinya pada ketika itu sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dikaitkan dalam kes berkenaan.

Selepas mengangkat sumpah saksi, Zaki memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa hari ini merupakan kali pertama beliau dipanggil memberikan keterangan kepada mahkamah.

Tun Zaki dilantik mengetuai badan kehakiman negara dari 21 Oktober 2008 sehingga 9 September 2011.

Dalam prosiding itu, Zaki selaku saksi keenam memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju agar projek penyelengaraan sistem mekanikal serta kejuruteraan beberapa bangunan UMS dibuat secara tender terbuka.

Katanya, Najib menyatakan persetujuan itu selepas beliau mengadakan pertemuan bersama Menteri Kewangan berkenaan di bangunan Parlimen.

“Dalam pertemuan itu, saya menjelaskan keputusan Lembaga Pengarah UMS yang menetapkan kontrak kerja projek adalah perlu dibuat secara tender terbuka

“Malah Perdana Menteri sekali menyatakan persetujuan sama apabila saya sekali lagi berjumpa dengan beliau dalam satu program pada Januari 2015,” katanya ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Terdahulu, Zaki menjelaskan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah telah bertemu dengannya sekitar Ogos 2014 untuk memaklumkan tiga surat sokongan kontrak mekanikal serta kejuruteraan di UMS oleh Kementerian Kewangan yang diberikan kepada Asli Jati Sdn Bhd.

Katanya, ia membabitkan pelaksanaan projek penyelengaraan sistem mekanikal dan kejuruteraan Bangunan Fasa 2B, Bangunan dan Infra Kampus Induk dan beberapa premis bangunan UMS dibuat secara rundingan terus kepada syarikat itu.

Sebaliknya kata beliau, pihaknya tidak pernah menyokong tender kerja kontrak itu kepada Asli Jati Sdn Bhd dimana Anthony merupakan Pengarah Urusan.

“Apa dikatakan dalam surat-surat ini bertentangan dengan keputusan dibuat Lembaga Pengarah UMS dan kami memutuskan ia perlu dibuat secara tender terbuka,” katanya.

Anthony yang diwakili peguam-peguam Datuk D. Senthinathan dan Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin kini dibicarakan atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu.

Di bawah pertuduhan utama, Anthony sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah melakukan pemalsuan terhadap surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS 9 Jun 2014 dengan memasukkan penyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa atas pertuduhan pilihan di lokasi dan tarikh sama iaitu menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen iaitu sepucuk surat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu.

Pendakwaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya