GEORGETOWN: Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditinggalkan dengan sekeping nota bertulis: Tolong Jaga Budak Ini’ di pintu pagar pejabat Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang, Jelutong, di sini malam tadi.
Bayi itu ditemukan dalam keadaan berselimutkan kain tuala berwarna hijau muda itu oleh seorang lelaki berusia 43 tahun kira-kira pukul 7.40 malam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki berkenaan menjumpai bayi tersebut sebaik sahaja membuka pintu premis tersebut dari dalam.
Menurutnya, lelaki itu kemudiannya membawa masuk itu ke dalam premis terbabit sebelum dipakaikan lampin pakai buang, pakaian serta diberi susu formula oleh seorang wanita di situ.
“Pengadu memaklumkan yang dia ke situ untuk bertemu rakan-rakan lamanya. Dia tidak menyangka menemui bayi yang berada dalam keadaan baik dan tidak menangis.
“Pihak polis yang ke lokasi kejadian bagaimanapun telah menyerahkan bayi tersebut kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau memberitahu, penimbulan cap jari pada nota yang ditinggalkan bersama bayi telah dibuat termasuk meneliti rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian.
Sehubungan katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ditalian: 019-473 5105 atau lapor di balai polis berhampiran. – UTUSAN ONLINE