Bangkit 15 perkasa, persiap jentera UMNO hadapi PRU-15 - Utusan Malaysia

Bangkit 15 perkasa, persiap jentera UMNO hadapi PRU-15

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dalam usaha mengukuhkan kembali kedudukannya sebagai parti terbesar dan utama orang Melayu di negara ini, UMNO mula mengatur strategi untuk memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ini kerana, kepimpinan parti menyedari bahawa, gerak kerja yang berstrategi dan sistematik mampu mengembalikan kedudukan parti keramat orang Melayu tersebut dalam arena politik negara.

Menyedari hakikat itu, maka UMNO telah mengorak langkah melancarkan kursus dan latihan di pelbagai peringkat parti dikenali sebagai Bangkit 15 dengan matlamat akhir mencapai kemenangan dalam PRU-15.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, UMNO sentiasa mengambil maklum berkenaan kancah politik semasa dan sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk mencapai misi seperti mana dilaungkan dalam perhimpunan tempoh hari.

Beliau berkata, kepemimpinan parti di peringkat bahagian sedang menjalani kursus dan latihan persediaan yang dijenamakan sebagai Bangkit 15.

Katanya, Bangkit 15 bukan semata-mata instrumen memperkasa jentera untuk pra-pilihan raya sahaja, sebaliknya ia merupakan platform yang mencakupi segala aspek termasuk kebarangkalian ketika PRU-15 berlangsung.

“Kursus latihan yang dinamakan Bangkit 15 ini sudah berlangsung sejak 12 Mac lalu dan ia bermula di Kedah dan Perlis diikuti oleh Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perak. Selepas itu Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan di Johor.

“Kita melatih mereka yang mana pimpinan ini akan turun ke bahagian masing-masing untuk melatih pula di peringkat cawangan. Kesiapsiagaan jentera itu amat penting bagi menghadapi pilihan raya.

“Inilah tujuan kita buat program ini iaitu untuk menyiapsiagakan mereka. Jadi selepas program ini berakhir saya percaya mereka bersedia untuk menghadapi pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Bangkit 15 UMNO Melaka dan Negeri Sembilan di Hotel Lacrista di sini, kelmarin.

Kursus yang berlangsung selama tiga hari itu dihadiri oleh 252 kepemimpinan bahagian termasuk sayap Wanita, Puteri dan Pemuda UMNO.

Pada Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung dari 27 hingga 28 Mac lalu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, kerusi UMNO adalah kerusi UMNO, dahulu, kini dan selamanya.

Beliau berkata, UMNO tidak akan terpedaya, dengan retorik kepentingan ummah dan perpaduan Melayu yang dibuat-buat.

Jelasnya, perpaduan ummah dan penyatuan Melayu mesti dipimpin oleh UMNO dan ia bukan umpan undi yang ditabur oleh pendusta politik, yang bernaung dengan ‘kuasa tanpa mandat’ dan tanpa kekuatan sebenar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya