Balai Internet tingkatkan ilmu ICT masyarakat Orang Asli

Balai Internet tingkatkan ilmu ICT masyarakat Orang Asli

ZAHIDI Zainul Abidin meninjau kemudahan Balai Internet selepas merasmikan Program Jelajah Pembudayaan Literasi dan Khidmat Komuniti Masyarakat Orang Asli Dalam Norma Baharu di Perkampungan Orang Asli, Kampung Jeram Kedah, Ulu Beranang, Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Program Jelajah Pembudayaan Literasi ICT dan Khidmat Komuniti Masyarakat Orang Asli Dalam Norma Baru anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Institut Starategi Antarabangsa (ISI) telah dianjurkan di Perkampungan Orang Asli Kampung Jeram Kedah, Ulu Beranang, dekat sini semalam.

Program yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Kesihatan Negeri serta mendapat tajaan beberapa pihak itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Dalam program bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan ilmu ICT dalam kalangan masyarakat orang Asli itu, Zahidi Zainul turut menyerahkan kunci Balai Internet hasil inisiatif pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada penduduk kampung.

“Saya dimaklumkan Balai Internet ini akan dijadikan pusat internet kepada penduduk kampung dan ia akan memberi peluang kepada komuniti Orang Asli di sini untuk merasai penggunaan internet.

“Saya berharap dengan adanya balai internet ini penduduk kampung terutamanya kepada anak-anak di sini dapat meneruskan pembelajaran mereka dengan mudah dengan adanya kemudahan internet yang akan menghubung mereka ke serata dunia,” kata Zahidi Zainul ketika berucap merasmikan program berkenaan semalam.

Menurut Ahli Parlimen Padang Besar itu lagi, kewujudan Balai Internet di Kampung Jeram Kedah itu juga akan membantu menjana peningkatan sosio ekonomi komuniti setempat dan mewujudkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing.

“Hari ini, kita banyak mendengar kisah kejayaan pengguna internet dalam bidang keusahawanan. Usaha ini dengan harapan dapat membantu menambahkan pendapatan keluarga yang sedia ada dan juga meningkatkan ilmu pengetahuan penduduk pada tahap global,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, segala inisiatif yang dilaksanakan oleh SKMM tersebut bukan sekadar pelengkap kepada pembangunan suatu masyarakat namun perlu dilihat sebagai satu peluang untuk mengubah cara hidup komuniti di perkampungan Orang Asli untuk terus maju dalam era globalisasi yang pesat.

“Penglibatan semua pihak iaitu kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil-wakil NGO berkaitan Orang Asli, orang perseorangan dan pihak swasta perlu diselaraskan dan digembeleng untuk menjadi pemacu ke arah pembangunan yang lebih mapan untuk penduduk di perkampungan Orang Asli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN