PETALING JAYA: Larangan rentas negeri pada Hari Raya Aidilfitri menambah luka kepada golongan perantau yang tidak dapat pulang beraya di kampung.
Seorang guru pelatih di Azzahra School, Ahmad Ammar Mohd. Yusof, 23, berkata, walaupun sedih tidak dapat pulang beraya di kampung, dia bersyukur kerana masih mempunyai saudara yang menetap di dalam satu negeri sama.
Katanya, persiapan kali ini juga tidak semeriah seperti tahun sebelumnya memandangkan ia adalah kali pertama menyambutnya di perantauan.
“Sedih memang ada sebab tak boleh beraya dengan mak ayah di kampung. Hendak hilangkan kesedihan itu, saya beli baju baharu sempena Aidilfitri yang sedondon dengan mereka di kampung.
“Semoga minggu kedua atau ketiga selepas hari raya nanti dibenarkan rentas negeri supaya masih ada peluang untuk sambut dengan keluarga di kampung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, larangan perjalanan merentas negeri masih tidak dibenarkan, sekali gus umat Islam tidak boleh ‘balik kampung’ untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu, Syed Ahmed Ilya Haziq Syed Ahmad Rizal, 24, berkata, larangan tersebut menyebabkan dia tidak dapat merasai kegembiraan sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Katanya, dia juga hanya mengharapkan rakan yang tidak ‘balik kampung’ untuk beraya bersama-sama.
“Suasana tahun ini lain dari lain, sebab tahun kedua (beraya di perantauan), puasa tanpa keluarga lagi. Saya juga tak feel nak beraya, malah tak bersedia nak raya,” katanya.
Dia yang sedang mengikuti latihan Industri di Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya (UM) berkata, walaupun kes Covid-19 tidak menunjukkan petanda akan turun, berharap adanya kelonggaran selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Kali terakhir balik kampung Hari Raya Aidiladha tahun lepas kerana harapkan raya nanti mungkin boleh balik,,” katanya. – UTUSAN ONLINE