Audio tular minta senarai nama polis suara saya - Hamzah - Utusan Malaysia

 Audio tular minta senarai nama polis suara saya – Hamzah

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengakui rakaman audio perbualan mengenai kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tular ketika ini adalah  suara beliau.

Malah, beliau berkata, perbualan tersebut dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang meminta senarai nama pengganti sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong tidak salah kerana ia di bawah bidang tugasnya selaku Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Beliau berkata, apa yang menjadi kesalahan ialah pihak yang merakam perbualan tersebut tanpa kebenaran. 

“Itu adalah suara benar saya dan saya tak melakukan kesalahan pun, yang salah ialah orang yang merekod perbualan itu. Saya dah cakap banyak kali bahawa apa salah saya? Saya  cuma minta Ketua Polis Negara  beri beberapa nama kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak ada mirip lagi (suara itu). Saya hairan ada orang tidak mengaku. Tetapi saya mengaku. Yang salah ialah orang yang merekod perbualan itu. Tiada apa yang salah kerana kita buat perkara yang betul,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Ketua Polis Negara Ke-13 kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani  di Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman audio berdurasi 1 minit 22 saat dikatakan mirip suara Menteri Dalam Negeri itu yang antara lain menyentuh berkenaan kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam PDRM.

Bagaimanapun, Hamzah berkata, beliau tidak bercadang untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu. 

Pada masa sama, katanya, pihak polis juga tidak ada keperluan untuk menyiasat sama ada benar suara itu milik beliau atau sebaliknya kerana beliau sendiri sudah mengakui perkara berkenaan. 

Katanya, jika ada pihak mendakwa wujud campur tangan beliau dalam pelantikan Ketua Polis Negara baharu hanya kerana perbualan itu, ia juga tidak menjadi satu kesalahan atas kapasitinya sebagai Pengerusi SPP.

“Tidak perlu pun (buat laporan), kerana saya tak buat apa-apa salah pun. Kita buat perkara yang betul, saya diminta oleh Istana (Negara) untuk berikan nama pengganti.

“Perbualan saya itu dirakam tahun lalu, saya Menteri Dalam Negeri. Saya boleh lakukan dengan beberapa cara, tetapi siapa yang rakam?” katanya yang turut menyindir rakaman audio perbualan dipercayai antara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana tersebar baru-baru ini.

Hamzah  turut hairan mengapa kedua-dua pemimpin itu tidak mengaku kerana isi perbualan itu tidak menjadi satu kesalahan pun.

“Kalau tidak mengakui mesti ada benda salah,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN